[LATIP & KELUARGA] TUN FATIMAH SRIKANDI MELAYU
- Regular price
- RM 30.00
- Sale price
- RM 30.00
- Regular price
-
RM 0.00
Share
Terbitan: LATIP & KELUARGA
Penulis: ABDUL LATIP TALIB
Tun Fatimah perempuan Melayu yang menjunjung tinggi adat dan budaya.
Berperibadi lembut dan sopan, tetapi keras dalam melawan.
Yang menjaga maruah diri, bangsa dan agama dengan darah.
Tidak gentar pada lelaki yang tamak kuasa, tidak undur pada penjajah Portugis yang durjana.
Sekali melangkah, mundur tidak sesekali.
Inilah kisah Tun Fatimah Srikandi Melayu.
BAB 6 MUSUH DALAM SELIMUT
"Ampun tuanku, mahu ke mana?" tanya Nina Chetu yang berkawan dengan Sultan Ahmad, putera Sultan Mahmud Shah. Ketika itu Sultan Ahmad sudah keluar dari perkarangan istana. Dia membesar dengan baik dan sudah pun menjadi belia. Nina Chetu pula adalah seorang saudagar kaya berketurunan Tamil dan bukan Islam. Dia turut menjalankan perniagaan di Melaka.
"Hanya mahu bersiar-siar. Beta mahu melawat gudang pertahanan Melaka, kamu mahu ikut?" tanya Sultan Ahmad yang bersangka baik terhadap Nina Chetu.
Putera raja itu sama sekali tidak pernah menyangka lelaki itu ada niat jahat pada Kesultanan Melayu Melaka. Memandangkan mereka akrab, Sultan Ahmad tidak memikirkan perkara lain melainkan yang baik-baik sahaja berkenaan Nina Chetu.
"Pasti sekali hamba mahu ikut tuanku," kata Nina Chetu yang sedikit pun tidak berterima kasih kepada Raja Ahmad yang sanggup berkawan baik dengannya walaupun dirinya bukan Muslim.
Maka, Sultan Ahmad pun berangkat ke gudang pertahanan Kesultanan Melayu Melaka bersama Nina Chetu.
Nina Chetu tercengang melihat senjata-senjata yang dimiliki oleh Melaka. Matanya terbeliak melihat banyaknya meriam yang canggih-canggih. Bukan sahaja meriam yang pernah dibeli dari luar negara seperti Rom dan Jepun tetapi juga meriam buatan anak-anak Melayu sendiri. Ternyata Kesultanan Melayu Melaka bukan hanya ada keris dan tombak tetapi memiliki senjata api yang dicipta sendiri oleh anak-anak Melayu yang bijaksana seperti istinggar, moyang kepada senapang patah yang ada kunci pada senjata tersebut, yang juga menjadi senjata pahlawan-pahlawan Melaka.
Bukan itu sahaja, Nina Chetu ternganga melihat senjata api yang dinamakan terakul iaitu moyang kepada pistol. Senjata ini kecil berbanding senjata lain. Senjata kegemaran para pembesar istana. Ia kecil, mudah alih dan pelurunya apabila ditembak akan menembusi musuh di hadapan. Malah, Bendahara Tun Mutahir juga memiliki terakul.
"Sudah, mari kita keluar," kata Sutan Ahmad yang bercadang untuk berlatih bermain senjata itu pada lain masa, bersama orang-orang istana, bukannya bersama Nina Chetu.
"Tuanku tak mahu cuba senjata-senjata ini?" tanya Nina Chetu lagi dengan rasa teruja.
"Boleh, tetapi kamu jadi sasaran tembaknya ya? Hahaha!"
Nina Chetu yang hitam manis kulitnya itu menelan air liurnya lalu terus keluar dri tempat itu secepat mungkin. Kawalan di kawasan itu begitu ketat. Hanya Sultan Ahmad dan orang istana yang berkenaan sahaja boleh memasukinya. Nina Chetu bertuah dapat masuk bersama Sultan Ahmad. Untung kepadanya, tetapi malang buat Sultan Ahmad dan seluruh rakyat Melaka kerana Nina Chet kelak menjadi pengkhianat yang menyumbang kepada keruntuhan Empayar Melaka.