[LATIP & KELUARGA] PANGLIMA ISMAIL PAHLAWAN KEDAH
- Regular price
- RM 40.00
- Sale price
- RM 40.00
- Regular price
-
RM 0.00
Share
Terbitan: LATIP & KELUARGA
Penulis: ABDUL LATIP TALIB
"Penghasilan novel ini bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat mengenai sejarah kehidupan salah seorang tokoh besar pahlawan Melayu yang sekian lama terpendam dalam lipatan sejarah empayar negeri Kedah iaitu Dato' Seri Paduka Raja Laksamana Wan Ismail bin Wan Muhammad Long atau dikenali sebagai Panglima Ismail. Pengorbanannya dalam mempertahankan kedaulatan Kedah daripada ancaman penjajahan asing seperti Sukhothai dan Inggeris serta jasanya membangunkan Kedah sepanjang era 1800-an begitu besar... Hasil perjuangannya, ilmu dan seni peperangan asal negeri Kedah iaitu Silat Cekak dapat diwarisi oleh orang Melayu sehingga kini."
YM Datuk Haji Maideen Kadir Shah
Guru Utama dan Presiden
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
BAB 9 PADANG JARAK PADANG TERKUKUR
Wan Ismail memotong kayu api di hadapan rumahnya. Kapak di tangannya tajam sekali. Sudah diasah beberapa kali sehingga berkilat dan bersinar.
"Assalamualaikum..." Terdengar sapaan dari belakang.
Wan Ismail menoleh, kelihatan Panglima Taha datang dengan seorang pemuda yang berwajah sedih. Kedua-duanya muram wajah mereka.
"Sapa ni?" tanya Wan Ismail kepada Panglima Taha setelah menjawab salam mereka.
"Ni kawan aku, Malim dari Langkawi. Rupa-rupanya Langkawi pun jadi sasaran serangan Sukhotai macam tempat kita di Kota Kola Kedah," kata Panglima Taha yang sudah pun mengambil tempat di atas batang kayu yang belum dikapak berhadapan dengan Wan Ismail.
Wan Ismail kini memang sepenuhnya berpakaian seperti rakyat biasa, tidak lagi berpakaian kerabat diraja yang membezakan mereka dengan rakyat jelata. Adat hidup menumpang di negeri orang, sedar diri dalam buangan.
Kapak di tangan Wan Ismail terlepas. Mengenang apa yang terjadi kepada Kota Kuala Kedah. Serentak itu juga dia teringat akan suatu kisah yang hangat diperkatakan orang lebih kurang setengah tahun sebelum Sukhothai datang menyerang.
"Mahsuri?" Nama itu tiba-tiba terkeluar daripada bibir Wan Ismail.
"Ya, hang sendiri tau kisah hangat Mahsuri tersebaq sampai ke tempat kita tujuh bulan lalu. Mahsuri telah dihukum bunuh di Padang Mat Sirat oleh Dato' Kerma Jaya Wan Yahya. Bukan ka Mahsuri bersumpah yang dirinya difitnah dan Pulau Langkawi akan tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan? Belum reda kisah ni dibualkan orang, Dato' Kerma Jaya menghadapi pula serangan dari Ligor yang berazam menghancoqkan seluruh negeri Kedah," terang Panglima Taha.
"Benaq, walaupun Dato' Kerma Jaya dibantu oleh penolongnya, Dato Panglima Hitam, tapi rempuhan puak-puak Thai terlalu ramai... habih depa sapu orang Langkawi, depa serang kampung Bohor Masjid atas bukit di Mukim Temonyong tu sampai hanguih. Berkoyan-koyan beras di gudang Dato' Kerma Jaya yang depa kumpoi untuk menyara anak-anak buah dan orang-orang pelarian dibakaq oleh Sukhothai," kata Malim yang juga menjadi pelarian dari Pulau Langkawi ke Pulau Pinang itu.
Wan Ismail terdiam. Benarlah bukan Kota Kuala Kedah saja diperangi 'Siam perut hijau'. Tetapi juga Pulau Langkawi yang mempunyai penduduk seramai 4000 orang.
"Di Langkawi, puak Siam kapiaq habih bakaq semua sampai sehelai kangkung laut pun tak tinggai, tak dak lagi menghijau di pantai Padang Mat Sirat," kata Malim seraya menggeleng.
"Apa? Betoi ka?" Wan Ismail seakan tidak percaya.
"Ya, seperti sumpah Mahsuri, Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur," kata Malim lagi yang menyedari Mahsuri difitnah dan sebenarnya tidak bersalah.
"Begitulah kaedah perang depa. Tempat kita di Kota Kola Kedah macam mana agaknya," kata Panglima Taha pula sambil tapak tangan kanan diletakkan di dahinya.
Malim menekur ke tanah. Dia masih ingat ketika penduduk Langkawi sibuk memetik lada hitam pada bulan Safar 1237 Hijrah (November, 1821), tentera-tentera Sukhothai tiba-tiba sampai dari Ligor bagi memusnahkan Langkawi sehingga menjadi padang jarak padang terkukur. Serentak serangan turut dilakukan ke atas Kuala Kedah. Sukhothai telah mendarat di Padang Mat Sirat dengan empat tugas yang penting iaitu membunuh semua orang yang melawan, menawan orang dewasa, memusnahkan kediaman orang-orang Melayu serta tanam-tanaman dan merampas harta benda yang berharga tanpa sisa.