• melati
  • jki_202211091548_0001 - Copy
  • nbv_202211091549_0001 - Copy
1
SALE

[PATRIOTS PUBLICATION] TANGISAN SRI MELATI - HAFIZ AB KADIR

Regular price
RM 28.00
Sale price
RM 28.00
Regular price
RM 0.00
Secure payments | SMOBookstores Online
Secure payments
Authentic products | SMOBookstores Online
Authentic products

Terbitan: PATRIOTS PUBLICATION

Penulis: HAFIZ AB KADIR


Sri Melati. Nama yang cukup indah, tetapi nasib Kampung Sri Melati tidak seindah namanya. Kejadian hitam yang menimpa Kampung Sri Melati mengubah segalanya. Tatkala ketakutan menjelma manusia mula menzahirkan tuduhan. Siti, anak kepada penghulu Kampung Sri Melati menjadi mangsa pertama dalam kejadian hitam itu. Mayatnya yang dijumpai di kampung itu mula meninggalkan seribu satu persoalan terhadap orang kampung. Bukti dan motif pembunuhan itu tidak jelas. Amir, bekas banduan yang baru sahaja memulakan kehidupan baru di Kampung Sri Melati menjadi suspek pembunuhan Siti. Keadaan menjadi kacau bilau.

Inspektor Azman cuba untuk merungkai misteri-misteri itu. Akan tetapi, setiap petunjuk yang dijumpai menambahkan lagi persoalannya. Dapatkah polis muda itu menyelesaikan kes-kes yang menyelebungi kampung itu? Siapakah pembunuh sebenar Siti dan mangsa-mangsa lain? Berjayakah pembunuh itu ditangkap?


PETIKAN BAB 27


Kampung Sri Melati

PADA malam itu, angin melambai-lambai dengan sederhana. Keriuhan memenuhi kedai Pak Jalak kerana ramai orang berada di kedainya. Suasana kembali sepi apabila jam berganjak ke pukul 1 pagi. Fenomena itu sudah menjadi satu kebiasaan bagi penduduk Kampung Sri Melati. Tidak seperti kawasan bandar yang malamnya sentiasa hidup dek kelekaan manusia menikmati segala pemberian yang diberikan oleh pencipta tanpa sebarang batasan.

Di kedai Pak Jalak, Imam Malik, Lebai Seman dan Pak Din sedang membincangkan tentang perihal dunia. Perihal yang boleh melekakan seseorang jika lidah sedang seronok berbicara tanpa ilmu pengetahuan tentang perkara itu.

Kelihatan Amir pula sedang menunggu makanannya siap di dalam kedai untuk dibawa pulang. Hakikatnya, dia masih tidak selesa untuk duduk bersama orang kampung. Dia pasti ada segelintir orang yang akan cakap belakang tentang perbuatan silamnya. Dia hanya berdiri di satu sudut dan tidak sedikit pun menoleh untuk melihat keberadaan orang di kedai itu.

Lama-lama, kakinya mula berasa lenguh. Pak Jalak pula melakukan kerja sambil dibantu oleh isteri dan dua orang anaknya. Orang ramai di kedai itu menyukarkan Pak Jalak untuk menyiapkan pesanan dengan lebih cepat.

"Amir! Marilah duduk dulu. Lama lagi Pak Jalak nak siapkan makanan kamu tu. Baik kamu duduk dulu," sapa Imam Malik. Dia sudah lama memerhati Amir yang berdiri sambil menunggu pesanannya.

Amir menoleh apabila namanya dipanggil. Senyuman yang kelat terukir di bibirnya.

"Tak apalah, imam. Saya tunggu sini jelah," balas Amir yang tersipu-sipu malu kerana menolak pelawaan Imam Malik.

"Yelah. Ikut kamulah, Amir," balas Imam Malik sambil tersenyum.

Pak Din mendekatkan dirinya dengan Imam Malik untuk berbisik. Matanya pula sibuk menjeling Amir.

"Kenapa kamu ajak dia duduk? Tak takut ke?" bisik Pak Din.

Imam Malik menghela nafas panjang, kemudian merenung mata Pak Din. Dia menggeleng bagi menandakan dirinya tidak suka dengan percakapan yang dilontarkan oleh Pak Din.

"Nak takut apa, Din. Si Amir tu dah berubah. Aku yakin yang dia takkan lakukan kesilapan lama dia. Janganlah kita ungkit apa yang dia pernah buat," tegur Imam Malik.

Pak Din mengangguk. Dia menerima teguran Imam Malik terhadap kesilapan tutur katanya sebentar tadi.

"Yelah, imam," balas Pak Din.

Lebai Seman hanya memerhati gelagat dua orang tua di depannya. Dia memerhati tanpa bersuara walau sepatah kerana tidak mahu tersalah bicara. Sesekali fikirannya mengimbas semula berita yang baru didengari siang tadi.

"Kamu berdua ada dengar berita tentang pemaju tanah tu?" soal Lebai Seman.

"Tak ada dengar lagi rasanya," jawab Imam Malik dan Pak Din serentak.

"Ni apa yang aku dengarlah. Pemaju tu tangguhkan kedatangan mereka sebab kes yang berlaku dekat kampung kita ni," jelas Lebai Seman.

Imam Malik hanya mengangguk kecil, manakala Pak Din pula kelihatan gembira dengan itu.