[IMAN PUBLICATIONS] EMPAYAR 3: HIKAYAT SAKA KETURUNAN RAJA
- Regular price
- RM 30.00
- Sale price
- RM 30.00
- Regular price
-
RM 0.00
Share
Terbitan: IMAN PUBLICATIONS
Penulis: TEME ABDULLAH
Saka raja yang diwarisi telah memberi kesaktian luar biasa kepada Sang Putera. Jijik dengan amalan syirik jurai keturunannya itu untuk kekal berkuasa, Putera Aradhana Sastra, pewaris tunggal Kesultanan Aradhanapura melarikan diri untuk menjadi rakyat biasa. Dengan harapan, hidupnya akan lebih tenteram.
Namun, kemunculan suatu makhluk dari gua yang tahu asal usul Sang Putera mengguggat rencananya.
"Aku sudah tidak tahan hidup melarikan diri seperti ini! Sedalam mana aku menyembunyikan diri, ada sahaja yang kenal siapa diriku!"
Sang Putera kini menjadi buruan ramai atas tuduhan mengamalkan ilmu hitam. Pada masa yang sama, Kesultanan Aradhanapura goyah akibat ketiadaan pemerintah. Rakyat pula kian tertindas dengan percaturan puak yang mabuk kuasa.
Kezaliman membanjiri tanah keramat. Putera Aradhana Sastra merasakan kewujudan diri dan jurai keturunannya hanya membawa malang kepada kepualauan Nusantara.
"... hanya darah Jurai Aradhana sahaja yang dapat membela kepulauan ini!"
Sang Putera enggan terus dibelenggu saka warisan. Namun, perit untuk diabaikan sahaja tanah air dan rakyatnya. Mampukah Sang Putera akhirnya berdepan dengan hakikat keturunannya sendiri?
Penghuni Kawah Lumpur
Pinggiran Kawah Lumpur.
Sastra tidak lagi berlari dengan sepenuh hati. Dia kini boleh berjalan seperti biasa kerana tidak ada seorang manusia pun yang berani menjejakkan kaki ke kawasan keras ini walaupun hanya di pinggiran.
"Huuu... Haaa ... Huuuuu ..... Haaaaa ....."
Sisa-sisa pernafasan derasnya masih belum habis.
Urat-urat yang timbul pada keseluruhannya badannya mulai pudar. Namun, degupan kencang jantungnya masih belum reda. Sastra berasa letih yang teramat. Ingin sahaja dia rebahkan badan di situ untuk berehat. Akan tetapi, dia belum yakin akan keselamatannya di pinggir kawasan larangan ini. Kuasa sakti warisan yang digunakan olehnya sebentar tadi memerlukan kudrat yang luar biasa. Lebih-lebih lagi buat orang yang belum mahir mengawalnya. Lagipun, belum pernah dia mengerahkan tenaga dalam tempoh selama ini.
"Astaghfirullahal 'azim ... Huuu ... Haaa ... Huuu ... Haaa," Sastra beristighfar tercungap-cungap. "Astaghfirullahal 'azim ... Ampunkan aku ya Allah .... Aku terpaksa menggunakan saka raja sekali lagi ...," bisiknya dalam kesukaran untuk bernafas.
Sastra membuka kain penutup mukanya dengan tarikan yang lemah longlai. Barulah dia boleh bernafas dengan lebih lapang. Dia menyelitkan kain guni itu je bengkungnya. Mukanya kemerah-merahan. Pemuda itu memaksakan juga kakinya untuk melangkah menuju ke sebuah runtuhan binaan yang dijadikan teduhan sementara. Ia terletak sedikit ke dalam, tetapi tidaklah terlalu jauh ke tengah kawasan sumpahan.
Kawah Lumpur. Kawasan keras yang terkandung sumpahan selama ribuan tahun. Sumpahan ini tidak dapat dilihat, didengar, mahupun dihidu. Akan tetapi, keadaan hidupan dalam lingkungan kawasan ini jelas menunjukkan bukti-bukti aneh. Warna batang pakok dan dedaunnya lebih kemerah-merahan berbanding pepohon biasa. Ada daun-daun yang luar biasa besar daripada kebiasaan. Binatang-binatang di sini juga aneh, Tanduk dan cula tumbuh dalam keadaan yang janggal; ada yang berkelok-kelok, ada yang melingkar, ada juga yang terlebih besar. Paruh-paruh burung juga tumbuh dengan tanda-tanda sumpahan. Malah, sesawang labah-labah juga tidak bercorak seperti kebiasaan. Seperti di sebuah alam yang lain.