[PTS] KARYA HAMKA: AYAHKU - EDISI 2023
- Regular price
- RM 38.00
- Sale price
- RM 38.00
- Regular price
-
RM 0.00
Share
Terbitan: PTS
Penulis: HAMKA
Menulis riwayat hidup Almarhum Syeikh Abdul Karim Amirullah atau Dr. H.A.K. Amrullah, sama ertinya dengan menulis bagaimana pembangunan agama Islam di Minangkabau, negeri yang dikenali kerana sulitnya lantaran pembangunan agamanya dan kekerasan adatnya.
Cuma saya harus menjaga satu perkara yang amat penting, iaitu kecintaan anak kepada ayah, sekali-sekali jangan hendaknya saya lupa akan keadilannya, sehingga saya menulis tentang kebaikannya dengan berlebih-lebihan. -HAMKA
1. AGAMA ISLAM DI MINANGKABAU
Pengantar
Untuk mengetahui bagaimana pertumbuhan agama Islam di daerah itu sampai sekarang, dan apa sebab munculnya ulama-ulama besar, di antaranya orang yang akan kita sejarahkan ini, perlulah kita ketahui asal-usul dan selok-belok serta selayang pandang sehingga mudahlah nanti meletakkan tiap-tiap orang besar itu pada tempatnya.
ZAMAN HINDU DAN BUDDHA
Kian lama kian mendalamlah orang menyelidiki keadaan pulau Sumatera pada zaman lampau. Maka didapati bahawasanya pada zaman dahulu memang telah muncul sebuah kerajaan yang besar di pulau Sumatera, bernama Kerajaan Sriwijaya dan menjadi pengembang utama bagi agama Buddha. Pada abad kelapan, kesembilan dan kesepuluh telah ada juga kerajaan besar itu. Kuasanya meliputi seluruh Sumatera, Jawa Tengah, Semenanjung Tanah Melayu dan sampai juga ke Semenanjung Kra (Siam), sehingga bagi bangsa Siam diakui juga bahawa Sriwijaya adalah salah satu kerajaan yang pernah memerintah Siam. Apatah lagi setelah di Ligir didapati terdapat batu bersurat tentang kebesaran Sriwijaya. Seorang daripada Raja Sriwijaya itu ialah Syailendra yang di dalam abad kelapan telah mendirikan Candi Borobudur yang terkenal itu. Dan Muara Takus, dekat Bangkinang sekarang ini pernah menjadi pusat Kerajaan Sriwijaya itu dan dari sanalah kata sesetengah ahli penyelidik asal mula kerajaan itu, yang kemudiannya menakluki Melayu, iaitu di Palembang yang sekarang. Nama muara Takus pada waktu itu ialah Kataha.
Maka Kerajaan Sriwijaya itu menjadi peloppor penyebaran agama Buddha di seluruh Sumatera dan ke Tanah Jawa sehingga di Minangkabau pun ada penganut agama Buddha.
Kemudia Kerajaan Sriwijaya itu menjadi bertambah mundur, sehingga pada suatu masa naik maju di Jawa Timur Kerajaan Singasari yang kemudian menjelma menjadi Kerajaan Majapahit. Maka Majapahit mencapai puncak kemegahannya setelah Gajah Mada diangkat menjadi Patih (1331). Gajah Mada menyatakan niatnya hendak menakluki seluruh Nusantara Indonesia ini di bawah penguasaan Majapahit, dan niat itu dilaksanakannya selama kekuasaannya dengan bersungguh-sungguh. Minangkabau tidaklah terlepas daripada rancangan Gajah Mada.