DEFECT - [FAJAR PAKEER] BENCI KURINDU - LOLLYSNOW
- Regular price
- RM 23.20
- Sale price
- RM 23.20
- Regular price
-
RM 29.00
Share
Terbitan: FAJAR PAKEER
Penulis: LOLLYSNOW
Saat takdir menghapus dendam, tika benci dikalahkan rindu.
Benci dan sayang terkadang hanya dipisahkan dengan sehelai kertas nipis. Sejauh mana rasa benci itu, kita tidak tahu apa yang akan merubahnya pada masa akan datang.
Itulah yang dilalui Harraz dan Amanda. Amanda pernah sukakan Harraz dan menaruh perasaan kepada lelaki itu sejak mereka di bangku sekolah lagi. Tapi, satu peristiwa membuatkan Amanda tidak berani lagi menaruh hati.
"Apa salah aku pada kau? Kau ni tak betul gamaknya! Benci orang tanpa sebab." - AMANDA
"Dengar, Amanda. Disebabkan kau anak tiri Tan Sri Khairil, tak akan ada istilah suka dalam diri aku untuk kau. Tapi benci." - HARRAZ
Hanya itu kata-kata terakhir mereka sebelum Amanda menghilangkan diri daripada pandangan mata Harraz.
Bertahun berlalu, pertemuan semula...
Kesumat Harraz tidak pernah padam. Apa yang dilakukan mama Amanda kepada arwah ibunya dianggap kejam. Hanya Amanda orang yang paling layak menerima segala amarahnya.
Kemuncaknya, gaun Destiny yang dipakai Amanda terbakar. Nekad Amanda berubah 100%. Dendam harus dibalas dengan dendam.
Namun, satu demi satu perkara terbongkar membuatkan Amanda terdesak melakukan apa pun untuk menghentikan amukan Harraz. Dia pasrah dalam luka.
Apakah masih wujud rasa benci di antara mereka?
Mampukah nyawa kecil yang wujud itu membesar dengan kasih yang selayaknya?
Kala cinta mengalahkan ego, sesal membunuh kebencian, kala hati merangkai mimpi, jiwa memburu harapan.
"Aku cari kau untuk diri aku sendiri"
PROLOG
Langkah sepasang kaki berkasut putih ringan bergerak hinggakan skirt biru hitam yang dipakai si gadis turut berayun sama mengikut rentak lenggok tubuhnya. Sebaik sahaja sampai di persimpangan tempat yang ingin dituju, dia berhenti seketika mencari nafas sebelum berlari anak mendapatkan seseorang. Di ruang mata hitam sudah terpantul imej sahabatnya yang tekun melukis sesuatu pada kertas kosong. Sambil tangan kanannya bergerak-gerak melakar sesuatu pada kertas, pipi cerah si gadis bergerak-gerak mengunyah coklat Mars yang dia pegang di tangan kiri.
"Amanda!"
Dengar sahaja namanya dipanggil, Amanda berhenti mengunyah lantas mengangkat kepala memandang Jane yang termengah-mengah mencari nafas mendekatinya. Kertas yang dia guna untuk mencurahkan ilham kreatifnya tadi dibawa ke bawah meja.
"Kau... kena ikut aku," ujar Jane.
"Untuk apa?" balasnya malas.
Coklat kegemaran kembali disua ke mulut. Dia betul-betul tak ada mood nak merayau satu bangunan sekolah.
Biasanya saat guru tak datang mengajar, dia dan Jane akan merayau pusing satu bangunan sekolah. Tapi hari itu, dia betul-betul malas.
"Jangan banyak tanya! Jom"
Tak jadi Amanda menggigit coklat apabila Jane berkeras menarik lengannya.
"Tak nak! Aku malas." Dia menolak kasar.
"Rugi kau tak ikut. Melepas tengok Harraz kau nanti." Jane jongket sebelah kening.
Dengar sahaja serangkap nama itu, wajah Amanda serta merta berubah. Yang tadinya kelat kini bersinar seperti anak kecil dapat mainan baru.