[KOMRAD] CERITA ABANG KADI - IMRAN BURHANUDDIN
- Regular price
- RM 25.00
- Sale price
- RM 25.00
- Regular price
-
RM 0.00
Share
Terbitan: KOMRAD
Penulis: IMRAN BURHANUDDIN
"Wahai pengantin lelaki, aku nikahkan dikau dengan pengantin perempuan yang berwakil walikan saudara lelaki seibu sebapanya denganku, dengan mas kahwinnya sebanyak Ringgit Malaysia tiga belas ribu, tiga belas ratus, tiga belas sen," saya lafaz sambil menghenjut kecil tangan pengantin lelaki.
"Aku terima nikahnya pengantin perempuan dengan mas kahwinnya sebanyak Ringgit Malaysia tiga belas ribu, tiga belas ratus, tiga belas sen... Eh?"
Eh? Kenapa ada eh? Saya pandang pengantin, pandang bapa pengantin, pandang saksi. Ada yang silap ke?
ADIK EXPRESS
"Di mana adik saya?" saya menyoal kepada pengantin lelaki.
"Ada di belakang, ustaz. Tengah tunggu ahli keluarga dia yang lain."
"Okey, maklumkan dia, cepat sikit. Cakap pada dia, abang dia tunggu dekat dalam ni, dah lama."
Pengantin hari ini, tidak mempunyai wali yang sah. Anak tak sah taraf. Setelah perbicaraan di mahkamah diadakan, maka hakim syariah melantik saya sebagai wali hakim untuk pasangan ini. Secara automatiknya, tak pasal-pasal dapat adik dah besar. Tiba-tiba.
Selepas semuanya sudah ada, saya menyampaikan khutbah nikah seperti biasa dan sudah tentulah lafaz akadnya berbeza dengan biasa. Tapi jangan risau, skripnya ada dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan begitu lancar.
Usai semua majlis, saya memanggil 'adik' dan 'adik ipar' saya untuk duduk di hadapan saya.
"Assalamualaikum, adik-adikku. Disebabkan hari ini, saya wali hakim bagi pengantin perempuan, maka ada beberapa perkara yang saya, sebagai wali ingin sampaikan."
Mereka berdua duduk bersama, rapat. 'Adik perempuan' saya, tertunduk sambil mengesat air matanya. 'Adik ipar' pula sedang sedia mendengar amanat yang bakal disampaikan.
"Adik-adikku... hari ini, kalian sudah aku nikahi. Hari ini kalian sudah menjadi halal, dahulu pandangan cinta yang kalian beri antara satu sama lain adalah berdosa, kini mendatangkan pahala." Saudara-mara terdekat duduk di belakang mereka, menemani.
"Adik-adikku... hari ini, aku sebagai wali yang dilantik hakin, melepaskan 'adik perempuanku' kepada kau, 'adik iparku'. Jagalah dia sebaiknya, bimbinglah dia sebaiknya. Bawa dia dan zuriat kalian ke syurga, jaga keluarga kecil yang kalian bina, jaga masjid yang telah kalian bina ini dengan perkara-perkara kebaikkan dan diredai Allah SWT. Isi rumah tangga ini sebagaimana kalian lihat di masjid-masjid yang penuh insan beribadat kepada Allah SWT."
Dalam kelompak kecil itu, saya lihat ada yang bergenang air mata.
"Kamu, suami. Jaga isterimu sebaik mungkin. Jadi suami yang baik. Jangan mengharapkan balasan daripada isterimu. Lakukan segala perkara yang menggembirakan isterimu kerana Allah SWT. Kamu pula wahai 'adik perempuanku', jadi isteri yang baik, jadi isteri yang solehah. Juga jangan mengharapkan balasan daripada suamimu, buat sahaja kerana Allah SWT.
Apabila kedua-duanya memenuhi keperluan masing-masing tanpa mengharap balasan, insya-Allah akan dibalas dengan cara yang kalian berdua tidak pernah terfikir. Jangan fikirkan tentang hak aku dan hak kamu, berbaktilah kalian berdua antara satu sama lain, kerana Allah. Faham kamu berdua?"
Tangan si isteri digenggam erat oleh suami. 'Adik perempuan' saya mengelap air mata yang mengalir di pipinya sambil mengangguk kecil dan perlahan.
"Jaga diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, yang bahan bakarannya, adalah manusia dan batu berhala. Ingat itu."
Kedua-dua mereka mengangguk.
Saya akhiri nasihat ringkas pada petang itu dengan memeluk 'adik ipar' express saya dan mengucapkan tahniah.
Semoga Allah SWT memberkati perkahwinan mereka berdua.